Wednesday, 9 December 2015

MEDIA SOSIAL DALAM PERNIAGAAN

Pengenalan

Sosial media adalah satu wadah atau tempat dimana orang dapat berkomunikasi sesama pengguna secara tidak langsung yang mana memerlukan sambungan internet untuk dapat melakukan komunikasi ini. Dengan menggunakan sosial media, pengguna dapat berkongsi dan bertukar-tukar informasi, peristiwa, kenalan dan berkongsi gambar. Internet merupakan salah satu aspek penting untuk berhubung dalam aplikasi sosial media.
Perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat di era ini telah munculnya pelbagai aplikasi-aplikasi sosial media yang baru. Kini, hanya dengan menggunakan telefon pintar yang disambungkan dengan internet, kita sudah boleh mengakses pelbagai aplikasi laman sosial media seperti, facebook, twitter, line, wechat, kakao talk dan itu semua boleh diakses dimana saja dan bila saja asalkan terhubung dengan internet dan itu membuatkan arus informasi semakin besar dan pesat.
Pada masa ini, penggunaan sosial media dalam kehidupan seharian semakin meluas. Kini, aplikasi sosial media digunakan dalam pelbagai sektor seperti perniagaan dan perusahaan, pentadbiran, pendidikan serta banyak lagi. Kemampuan untuk mengakses media sosial melalui aplikasi mudah alih (mobile web) merupakan faktor pendorong dalam kejayaan media sosial. Hal ini kerana ia memiliki kualiti capaian maklumat yang maksimum walaupun diakses melalui telefon pintar sehingga telefon bimbit biasa. Perkembangan media sosial yang semakin pesat dengan ragam aplikasi seperti mengirim mesej, muat naik ataupun muat turun gambar, permainan, chat, muzik, tayangan video menyebabkan penggunanya sentiasa menghabiskan masa di hadapan skrin gadget miliknya.



Media Sosial


Lima media sosial teratas di dunia iaitu Facebook, diikuti oleh Twitter, Linkedln, Google+ dan Pinterest. Facebook yang pada awalnya diasaskan oleh Mark Zuckerberg sebagai medium untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat bagi mahasiswa Harvard sahaja kini menjadi media sosial paling fenomena di dunia. Pada Jun 2011 Facebook melaporkan telah pun mencapai 750 juta pengguna. Manakala Twitter yang diasaskan oleh Jack Dorsey pada tahun 2006 melaporkan telahpun mempunyai 200 juta pengguna aktif pada tahun 2011. Apabila Internet dan teknologi telefon bimbit menjadi semakin maju maka media sosial berkembang pesat juga. Kini, untuk mengakses Facebook, YouTube ataupun Twitter boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa hanya dengan menggunakan telefon bimbit.


Sejarah dan Evolusi Media Sosial



Sejarah laman jaringan sosial bermula dengan SixDegree.com yang dikreditkan sebagai laman sosial pertama dan diasaskan pada tahun 1997 dengan ciri-ciri seperti profil, sahabat, dan mesej. Seterusnya, pada tahun 1999 muncul situasi untuk membuat blog pribadi, iaitu Blogger. Laman ini menawarkan penggunanya untuk membuat laman blog sendiri. Pengguna dari blogger ini boleh memuat naik tentang pelbagai perkara termasuklah perkara peribadi (Siti Ezaleila Mustafa & Azizah Hamzah, 2010).

Pada tahun 2002 laman Friendster telah ditubuhkan, Pada awal kemunculannya Friendster memiliki tujuan sebagai laman mencari jodoh. Namun seiring waktu berlalu, Frienster mengalami perkembangan dan dijadikan sebagai alat untuk berkenalan yang paling diminati oleh para remaja. Tahun 2003 menjadi tahun kemunculan laman-laman media jejaring sosial lain yang sedia bersaing dengan Friendster, iaitu FlickR, YouTube, dan Myspace. Namun pada dua tahun berikutnya, iaitu tahun 2005, Myspace dan Friendster menjadi laman media jejaring sosial paling popular di seluruh dunia (Siti Ezaleila Mustafa & Azizah Hamzah, 2011) .

Seterusnya, sekitar tahun 2006 muncul laman media jejaring sosial popular lain yang sering kita sebut iaitu Facebook. Sebenarnya Facebook dilancarkan pada tahun 2004, tetapi pada tahun 2006 barulah Facebook dapat menyingkirkan dua laman media jejaring sosial paling popular pada waktu itu (Myspace dan Friendster). Mark Zuckerberg sebagai pencipta Facebook telah berhasil membuat aplikasi yang lebih moden dan menarik bagi pengguna untuk mengakses informasi sebanyak dan seluas mungkin, selain itu Facebook juga tetap memiliki salah satu fungsi media jejaring sosial iaitu sebagai laman yang bisa mempertemukan dan memperkenalkan pengguna antara satu dengan yang lain.
Diikuti dengan munculnya Twitter pada tahun 2009. Pada waktu itu Twitter mempunyai sistem unik, iaitu sistem mengikuti dan tidak mengikuti (follow-unfollow). Sistem tersebut diperuntukkan bagi pengguna untuk mendapatkan informasi atau status terbaru dari pengguna yang diikutinya (follow). Selain itu juga ada Google Plus (Google+), media jejaring sosial yang sering digunakan oleh para webmaster ataupun blogger, dimana media jejaring sosial tersebut lebih banyak dipakai untuk tujuan mempromosi laman sesawang. Setelah itu banyak kemunculan aplikasi media jejaring sosial di telefon pintar yang berbasis iOS, Android, dan Windows Phone. Diantaranya iaitu Instagram, Path, Line, BlackBerry Messenger, dan masih banyak aplikasi media jejaring sosial yang lain.
 

Menurut Ika Destiana et al., (2013) Pada masa kini, boleh dikatakan kehangatan media sosial bermula dengan populariti Facebook yang pada asalnya dilancarkan pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg sebagai media untuk saling mengenal dan berkomunikasi serta berkongsi maklumat bagi mahasiswa Harvard pada sebuah tapak rangkaian sosial, justeru kini telah popular di seluruh dunia. Malah dikatakan bahawa seandainya Facebook adalah sebuah negara ia akan menjadi negara terbesar nombor tiga di dunia (Mohd. Hamdan 2011). Manakala Twitter yang awalnya dirancang untuk digunakan sebagai aplikasi pendukung dalam pekerjaan dan berkomunikasi dalam kumpulan kecil, sekarang ini justeru menjadi microblogging perkongsian maklumat terbesar di dunia dengan kebolehannya menyampaikan 350 juta Tweets per hari yang didominasi oleh pengguna generasi muda.

Kepentingan Media Sosial dalam Perniagaan

Kejayaan penglibatan dalam perniagaan atas talian bergantung kepada beberapa perkara selain modal wang, infrastruktur serta kesediaan bekalan barangan dan perkhidmatan. Satu perkara yang penting bersifat bukan material iaitu tingkah laku inovatif yang berupaya membentuk hubungan perniagaan dengan pelbagai pihak dari ahli keluarga, rakan, pelanggan, agen dan pembekal kepada pesaing. Oleh itu, hubungan jaringan sosial adalah suatu hal yang penting dalam keusahawanan kerana ianya dapat meluaskan pemasaran produk yang ditawarkan  serta mengenal pasti peluang bagi mendapatkan sumber. Hubungan sosial turut dianggap penting dalam perniagaan atas talian terutama dari segi pembentukan reputasi perniagaan yang baik dan hubungan perniagaan yang dimanfaatkan dengan ejen perniagaan (Gusniar Nurdin et al., 2014).

Terdapat beberapa faktor mudah yang menjadikan laman sosial merupakan perkara penting dalam perniagaan. Di antaranya ialah jualan akan menjadi lebih mudah apabila terdapat banyak ‘potential customer’. Di mana banyak orang, di situ banyak peluang jualan akan berlaku. Bayangkan jika anda membuka kedai di lorong-lorong kecil jalan yang terletak di bahagian belakang dan jauh dari pandangan orang ramai, sudah tentu jualan anda sedikit.

Oleh sebab itu banyak kedai-kedai besar dan berjenama seperti Jusco dan Tesco memilih untuk membuka cawangan mereka di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang besar. Sama juga seperti laman sosial yang mempunyai ramai pengguna. Hal ini akan  membuka peluang jualan yang lebih besar kepada pengusaha jualan atau peniaga.

 
Jika dilihat, bukan peniaga-peniaga kecil sahaja yang menggunakan media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka, malah syarikat-syarikat besar juga tidak ketinggalan untuk menggunakan media sosial untuk aktiviti pemasaran mereka. Ada banyak alasan mengapa para pemasar (marketing) memilih pemasaran menggunakan media sosial, diantaranya adalah untuk meminimakan kos pengiklanan mereka.
 



Kos pengiklanan mereka dapat diminimakan dengan menggunakan media sosial ini. Tidak dinafikan lagi bahawa mereka dapat mengurangkan kos pengiklanan mereka jika dibandingkan dengan cara pemasaran lain selain media sosial seperti media massa. Banyak perniagaan besar dan terkenal telah memanfaatkan media sosial sebagai media publisiti untuk mengenalkan jenama mereka. Sebabnya adalah mereka tahu dengan pengguna media sosial yang sangat ramai, mereka dapat memperkenalkan jenama mereka dengan cara ini malah dengan harga yang jauh lebih murah lagi.
Elemen ini boleh digunapakai oleh usahawan dan peniaga bagi memastikan aktiviti pemasaran khususnya dapat dipertingkatkan. Secara tidak langsung ia dijangka memberikan kesan positif kepada kebolehlihatan syarikat usahawan terbabit menggunakan medium media sosial.
Tambahan lagi, faktor kebolehlihatan sesebuah laman media sosial syarikat adalah bergantung kepada maklumat dan isu yang dilontarkan pada laman media sosial tersebut. Menurut Mohd Hafizie Suhaimi & Norshuhada Shiratuddin (2013) maklumat yang pertama dilihat oleh pelanggan adalah berkaitan jenama, produk atau perkhidmatan yang berkaitan dengan syarikat tersebut tawarkan. Selain itu, mereka juga menyentuh lima elemen iaitu interaksi, perhubung pautan, pengaruh, penganjuran dan kesan. Ukuran boleh dibuat melalui pengiraan pengikut dan jumlah pelawat dan jumlah pelawat atau kepuasan pelanggan.Sebagai contoh penggunaan blog bagi sesetengah syarikat di kalangan usahawan yang menekankan kepada bilangan capaian trafik pada setiap hari. Ini adalah penting bagi memastikan sama ada kebolehlihatan blog tersebut wujud di kalangan pengguna internet.




Penggunaan Media Sosial dalam Perniagaan Secara Global


 
Perniagaan menggunakan media sosial telah membuka peluang yang lebih luas kepada para usahawan untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk atau perkhidmatan secara meluas samada di dalam atau luar negara. Hal ini adalah kerana proses penyebaran informasi dan maklumat di media sosial adalah sangat mudah kerana peniaga hanya perlu membuat artikel, tulisan, gambar, video, atau apa jua bentuk informasi lainnya dan meletakkannya di media sosial tertentu yang dapat dilihat oleh semua pengguna di internet.
 
 
 
         Penggunaan media sosial dalam perniagaan secara global telah mendatangkan hasil jualan yang lebih memberansangkan dan menguntungkan kepada usahawan samada usahawan dari perniagaan berskala kecil mahupun yang berskala besar sekaligus dapat mempengaruhi kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Media Sosial menjadi tempat pemasaran yang efektif kerana kemudahan internet itu sendiri yang kini manfaatnya boleh dinikmati oleh berbagai kalangan masyarakat, bangsa dan walau di mana jua samada di dalam ataupun di luar negara.



Tahap Penggunaan Media Sosial dalam Perniagaan di Malaysia




Revolusi penggunaan internet telah memberikan impak yang besar terhadap kehidupan seharian terutamanya dalam bidang keusahawanan di seluruh dunia. Keusahawan atas talian lahir dari revolusi tersebut. Pada hari ini, semakin ramai rakyat Malaysia telah mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam bidang ini. Cara jual beli dan transaksi perniagaan yang mudah yang boleh menjimatkan masa dan tenaga dan melibatkan penggunaan modal yang rendah telah menarik minat orang ramai (Gusniar Nurdin et al., 2014).

Pelbagai sektor perniagaan di Malaysia menggunakan platform media sosial sebagai perantara kepada pengguna dan pelanggan sama ada dari perniagaan yang besar mahupun yang kecil. Industri kecil dan sederhana (IKS) tidak ketinggalan juga dari menggunakan teknologi ini.



Petunjuk Internet 2014

Media sosial merupakan aplikasi internet yang terbaik untuk digunakan oleh usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana bagi menjalankan aktiviti pemasaran. Media sosial mampu mengecilkan serta menutup jurang di antara strategi yang telah dirancang dan perlaksanaan strategi yang akan dilaksanakan Pemasaran secara atas talian menggunakan aplikasi media sosial mampu menyediakan satu platform baru dan baik kepada usahawan terutama di dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ini. Selain itu juga, menggunakan teknologi maklumat untuk memperkasakan sesebuah perniagaan adalah sia-sia jika penguasaan dan kebolehupayaan menguruskan teknologi maklumat dan komunikasi berada pada tahap yang lemah (Mohd Hafizie Suhaimi & Norshuhada Shiratuddin, 2013).




Cabaran dan Halangan Media Sosial di Malaysia


Media sosial antara medium komunikasi paling hangat pada abad ini sehingga sudah menjadi sebahagian keutamaan hidup. Bilangan pengguna Internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta pada 2012, demikian menurut Laporan Ekonomi 2013/3014 dikeluarkan Kementerian Kewangan. Menurut laporan itu, kadar penembusan jalur lebar isi rumah pula meningkat kepada 66.8 peratus pada akhir Jun 2013 manakala kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini terdapat 42.6 juta langganan.



Namun yang demikian, keterlaluan penggunaan media sosial mempunyai cabaran dan halangan yang tersendiri. Contohnya ia dapat menyebabkan ibu bapa dan anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang dan berdamping antara satu sama lain. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa. Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Cara menangani kesan media sosial adalah melalui pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan.

Selain itu juga, kebanyakan perkhidmatan rangkaian sosial menyediakan ruang bagi penggunanya untuk meletakkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor telefon dan maklumat penting yang lain. Ciri yang asalnya bertujuan membantu memudahkan pengguna satu-satu perkhidmatan rangkaian sosial berkenalan dan berhubung telah secara tidak langsung mendedahkannya kepada risiko kecurian maklumat pengguna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurut Mohd Dahlan A. Malek & Ida Shafinaz Mohamed Kamil, (2010) masalah keselamatan komputer dan sistem rangkaian mula dikesan sejak awal 1950an, apabila komputer digunakan untuk menyimpan maklumat-maklumat berperingkat sulit. Kerahsiaan adalah aspek yang penting yang perlu ditekankan dalam keselamatan komputer. Ancaman utama yang wujud pada ketika itu adalah dari aktiviti pengintipan (espionage) dan pencerobohan peribadi (invasion of privacy). Menjelang penghujung 1960an masalah komputer semangkin meningkat ekoran perkongsian maklumat dan sumber komputer secara jauh. Sistem komputer yang digunakan telah dilengkapi dengan sistem pengendalian yang boleh mengelakkan pengguna daripada memasuki rangkaian sistem pihak lain sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Pada masa tersebut, sumber komputer dapat dicapai dan disediakan tanpa mengira kedudukan geografi dunia.

Oleh yang demikian, pihak kerajaan perlu mengetatkan undang-undang dan peraturan terhadap segala kegiatan penyalahgunaan media sosial. Mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertanggungjawab memantau dan menangani isu sensitif yang mengancam keselamatan negara seperti isu perkauman dan agama. Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula bertanggungjawab mengendalikan semua urusan berkaitan dengan Internet serta mengambil alih kuasa pelesenan terhadap spektrum penyiaran dan komunikasi.